Sumber
: Berita Harian
Pergola semakin
diminati
PENGGUNAAN pergola
makin mendapat perhatian yang mampu menampilkan keunikan
laman. Jika anda bijak menyuai padan, ia dapat
disesuaikan dengan apa jenis kediaman sekali pun,
walaupun ruangnya terhad.
Pergola adalah para
kayu yang dibina di laman untuk memayungi ruang pejalan
kaki atau ruang depan atau belakang rumah dan boleh
diperoleh dalam dua jenis iaitu bertutup atau terbuka.
Nama pergola di ambil daripada bahasa Latin, Pergula
yang merujuk kepada layar sengkuap dan kemudian
dipinjamkan ke dalam bahasa Inggeris.
Dengan kata lain,
pergola adalah binaan sementara yang biasa dibina di
depan pintu rumah menuju ke taman depan kediaman. Dalam
seni binaan barat, biasanya pergola dibina untuk depan
pintu menuju ke kolam renang atau laman belakang atau
kiri dan kanan rumah menjadi ruang berlindung daripada
panas dan hujan.

Pergola menjadi
struktur taman yang diminati masakini.
Ketika di zaman
Rennaissance, pergola tidak lagi menjadi binaan
sementara kerana kebanyakan kediaman atau bangunan
menjadikannya sebagai binaan kekal. Pergola dijadikan
terowong hijau atau hiasan taman yang popular pada awal
zaman itu. Pergola menjadi hiasan menarik untuk musim
bunga dan panas.
Pergola moden kini
dibina dengan kayu seperti cengal, jati dan kayu getah.
Di negara ini, pergola biasanya dibina menggunakan kayu
cengal kerana kukuh dan tahan lama. Bagi mencantikkan
lagi pergola ada yang menghiasinya dengan tirai daripada
kayu, buluh atau fabrik seperti kain sifon, satin dan
kapas.
Tahukah anda, binaan
pergola dari kayu turut bertindak sebagai `pelembut’
laman yang sarat dengan pokok hiasan dan pada masa sama,
dapat mengubah pemandangan rumah. Ia boleh diibaratkan
sebagai pelengkap laman.
Sebelum membina
pergola, anda perlu tentukan keluasan laman terlebih
dulu. Jika laman anda luas, lebih elok membina pergola
sendiri bagi memastikan bersesuaian dengan cita rasa dan
ukuran laman. Binaan pergola kecil dengan laman yang
luas pasti membuatkan laman kelihatan pelik dan kurang
menarik.
Pergola boleh
digabungkan dengan anjung rumah atau berdiri sendiri
menjadi titik tumpu untuk laman. Untuk ruang terhad
lebih baik digabungkan dengan binaan lain di depan rumah
supaya ia tidak memakan ruang yang ada.

Rekaan pergola dari
batang kayu dilengkapi atap rumput juga boleh
dijadikan pilihan.
Selepas tentukan
keluasan laman, anda perlu memilih kayu yang sesuai
untuk pegola anda. Pilih pergola dari kayu bermutu
tinggi seperti cengal kerana pendedahan kepada perubahan
cuaca. Jika kayu tidak berkualiti, dikhuatiri anda
terpaksa berbelanja lebih membaiki kerosakan pergola
yang runtuh.
Kemudian, lihat
kesesuaian laman anda dengan pergola yang bakal
dipasang. Jika anda tinggal di rumah yang mempunyai
ruang terhad seperti pangsapuri, anda perlu memilih
pergola ringkas tanpa bumbung untuk mengelakkan ruang
yang sempit nampak berserabut.
Hiasan untuk pergola
jangan diabaikan. Anda boleh hias pergola mengikut
selera dan konsep yang diinginkan dan seeloknya jangan
biarkan pergola anda kosong tanpa sebarang hiasan. Jika
anda inginkan gaya sederhana, boleh gunakan pokok
gantung pada pergola anda.
Pergola akan kelihatan
lebih hidup dengan pokok menjalar. Tapi pastikan pokok
itu sentiasa dipangkas supaya laman kelihatan terurus
dan selamat daripada binatang berbisa.
Pokok yang biasanya
sesuai untuk pergola adalah Kembang Seri Pagi, Bunga
Ketup-ketup, Akar Dani, Titus atau tumbuhan sayuran
seperti timun, tomato, tembikai dan peria.
Reka letak pergola di
laman juga penting untuk mewujudkan suasana redup di
laman rumah dan pastikan arah cahaya matahari terlebih
dulu sebelum pergola dibina. Ini penting untuk
disesuaikan dengan reka letak pokok hiasan di sekeliling
pergola.
Aliran angin juga perlu
diambil kira. Jangan hias pergola terlalu sarat dengan
hiasan atau pokok gantung kerana akan menghalang aliran
angin sekali gus membuatkan suasana nyaman di bawah
pergola bertukar hangat dan merimaskan.
Bahan lantai pergola
seeloknya daripada bahan cerah seperti simen akan
membuatkan halaman kelihatan panas, seelok-eloknya pilih
warna terang yang tidak menyerap cahaya.
Fakta:
Panduan memilih tanaman memanjat
untuk pergola di laman
* Anda digalakkan
memilih tanaman memanjat dengan daun dan bunga berwarna
terang dalam usaha menceriakan laman dan secara langsung
menampakkan ruang yang lebih luas.
* Pastikan struktur
pergola sesuai supaya tidak mengganggu tumbesaran
tumbuhan.
* Seeloknya beli
tanaman memanjat yang ditanam dalam pasu kerana akarnya
tidak banyak terganggu apabila ia dipindahkan ke tanah.
* Pastikan tanaman
permukaan tanah dalam pasu tidak diliputi lumut atau
akarnya terkeluar dari lubang saliran air pada bahagian
bawah pasu.
* Memilih tanaman
memanjat yang tidak cepat tumbesaran hingga menyebabkan
ia merimbun dalam jangka pendek dan mungkin menjejaskan
pemandangan atau perancangan konsep laman yang anda
impikan selama ini.
* Aturkan jadual untuk
menyelenggara termasuk kerja memangkas ranting pokok
supaya ia tidak menjalar sehingga menyemakkan kediaman.
|